Friday, February 04, 2011

AKU TETAP MERINDUINYA.... KEHILANGANNYA AMAT DIRASAI HINGGA KINI


ARKIB : 16/10/2004

Bayi empat bulan koma



NOR AINA Batrisyia Hasbullah, empat bulan yang koma lebih sebulan akibat mengalami pendarahan dalam kepala dan gegaran otak kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor. - Gambar ZAINI HUSIN


JOHOR BAHRU 15 Okt. - Seorang bayi berusia empat bulan kini bertarung untuk hidup setelah koma lebih sebulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, kerana pendarahan serius dalam otak dipercayai akibat kecuaian seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Bapa bayi tersebut, Hasbullah Abu Bakar, 36, berkata, kejadian berlaku 15 September lalu apabila dia menerima panggilan daripada pembantu rumahnya mengatakan anaknya, Nor Aina kelihatan tidak bermaya dan berada dalam separuh sedar.

Menurutnya, beliau bergegas pulang ke rumah kira-kira pukul 1.15 petang dan mendapati anaknya berada di pangkuan pembantu rumah itu yang sedang tidur lena.

``Saya mula curiga melihat keadaan anak saya tetapi apabila saya menyuruh pembantu rumah itu mengangkat Nor Aina, dia kelihatan terkulai dan tidak bermaya,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika di temui di sini hari ini.

Beliau bersama isterinya, Norwani Abdullah, 34, telah berada di HSA selama sebulan bagi memberi sokongan kepada anaknya di samping mengetahui perkembangan kesihatan dari doktor yang merawat.

Hasbullah yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang berkata, sebelum beliau keluar bekerja pada hari tersebut, anaknya tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan malah kelihatan lebih ceria.

Beliau yang bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor di sini berkata, bagaimanapun kejadian hari itu agak memeranjatkan kerana Nor Aina kelihatan tidak bermaya dan seperti tidak sedarkan diri.

``Saya bertanya kepada pembantu rumah tersebut apakah yang telah dilakukan terhadap anak saya tetapi dia menjawab tidak buat apa-apa sebaliknya hanya memberitahu yang Nor Aina menangis dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.

``Saya terkejut memandangkan dalam tempoh itu Nor Aina dibiarkan menangis tanpa berbuat apa-apa sehingga anak saya berusia enam tahun menyuruhnya menelefon saya untuk memaklumkan kejadian tersebut,'' katanya.

Selepas itu, katanya, beliau bersama isteri telah membawa anaknya ke sebuah klinik berhampiran di Taman Daya dan doktor mengarahkan saya membawa Nor Aina ke HSA untuk rawatan lanjut.

Katanya, setiba di HSA, Nor Aina telah menjalani pemeriksaan dan doktor menyatakan bayi itu mengalami pendarahan dalam otak dan membengkak dengan serius.

``Doktor memberitahu saya bahawa mereka mengandaikan Nor Aina digoncang, terjatuh atau dihentak menyebabkan anaknya mengalami pendarahan serius,'' ujarnya.

Beliau memberitahu, pada hari tersebut doktor telah melakukan pembedahan untuk membuang pendarahan dalam otak dan akan melakukannya sekali lagi pada minggu depan.

Hasbullah berkata, beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Selatan tetapi sehingga kini tidak mengetahui perkembangan kes tersebut termasuk pembantu rumahnya sama ada ditahan atau tidak.

Beliau difahamkan pembantu rumah tersebut kini berada di syarikat agensi pekerja asing di Tampoi dan berharap polis dapat menjalankan siasatan lebih lanjut berhubung kejadian itu.

No comments:

Post a Comment